“Mama! Mama! Adik nak, nak mainan tu!” Jerit Adam berusia 3 tahun tanpa menghiraukan orang ramai yang melihat kerenahnya. Pastinya anda pernah mengalami situasi ini apabila berkunjung ke pusat membeli belah. Bersama mengetahui panduan menghadapi anak yang meragam ini.
Anak mengamuk atau meragam di tempat umum mungkin akan membuat anda malu dan sangat marah. Anak pula akan menangis dan menjerit dengan sekuat hati dan berguling-guling di lantai tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya. Apa yang dia tahu, kehendaknya mesti dipenuhi. Akibatnya, segelintir ibu bapa sengaja memilih untuk ‘beralah’ dengan anak, yang penting dia tidak lagi menjerit. Hakikatnya, jalan mudah ini salah. Jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan perkembangan anak secara positif. Sebagai ibu bapa anda harus tahu cara yang betul untuk menangani anak yang bersikap begini.
Kenapa Mengamuk
Situasi mengamuk atau meragam memang biasa dialami oleh ibu bapa. Ini kerana mengamuk adalah cara anak-anak kita melepaskan geram, kecewa, meluahkan apa yang terbuku di hati dan cara untuk mereka mendapatkan sesuatu dan bila mendengar perkataan ‘jangan’. Ada juga meragam kerana mereka ingin perhatian, penat, lapar atau merasa tidak selesa. Semua ini diluahkan dengan cara meragam. Cuma sebagai ibu bapa kita perlu kenal pasti situasi apa yang membuatkan anak meragam.
Sebenarnya kanak-kanak yang mahu membesar dengan bebas (independent) jika dihalang oleh ibu bapa, akan berpotensi untuk mengamuk. Sebagai contoh, jika anak hendak membuka penutup botol, anda cepat membantunya, mereka mungkin akan kecewa dan mengamuk dengan tindakan kita itu. Begitu juga permainan yang diidamkannya. Pastinya dia akan menjerit dan tidak mahu meninggalkan kedai sehingga kehendaknya dituruti.
Menurut Dr Brenna E Lorenz, peneliti dari University of Guam, kita perlu memahami mengapa anak mengamuk. Dia mengamuk kerana dorongan rasa marah dalam dirinya. Kemudian kemarahan ini akan menjadi rasa takut. Misalnya, “Kalau saya tidak mendapat mainan ini sekarang, sampai bila pun ayah tidak akan belikan pada saya.” Rasa takut ini kemudian digantikan dengan rasa sedih kerana merasa dia tidak mendapat apa yang diinginkan. Itu sebab itu dia menunjukkan perilaku yang tidak menyenangkan seperti menjerit dengan kuat dan menangis.
Semua ini berlaku disebabkan perkembangan anak itu sendiri. Menurut pendapat pakar kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga menjadi seorang yang egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.
Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ikuti panduan menghadapi anak mengamuk.
Panduan Hadapi Anak Mengamuk
1. Alih perhatian dia.
Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam. Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.
2. Jangan mengikut kehendaknya.
Biasanya anak mengamuk kerana dia tahu cara itu dia akan dapat apa yang dia inginkan. Elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.
3. Elak daripada memarahi atau menjerit
Jangan memarahi pada anak kerana ia tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tidak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.
4. Jangan pedulikan
Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A Book of Child Care, menjelaskan bahawa membiarkan anak ini meragam adalah ‘ubat mujarab’. Jika anda memujuknya ini akan memberi anak gambaran bahwa dia akan dapat semua yang dia mahu bila dia meragam. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai semasa mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.
5. Apabila anak berhenti mengamuk
Berbincanglah kepada mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Juga beritahu bahawa tindakannya mengamuk dan meradang tidak akan membawa kebaikan dan itu adalah tingkahlaku yang tidak baik.